Auto Free Gear


AUTO FREE GEAR

Pernahkah kalian alami "gear" kereta (manual) secara tiba-tiba berada dikedudukan neutral apabila memandu melebihi 100km/j? Tanpa membuat bunyi bising atau memberi apa-apa isyarat, ia secara automatik kembali kekedudukan neutral apabila dipandu melebihi 100km/j.

Perkara ini jarang-jarang berlaku. Malah apabila ditanyakan kepada makenik kampung, jawapan yang diberikan berbentuk tekaan sahaja. Walhal, makanik tersebut sememangnya arif dan berpengalaman dalam bidang yang diceburinya. Lebih susah ditafsir apabila masalah tidak berlaku ketika dipandu-uji si makenik tersebut. Setelah selesai diuji, kami sebulat suara mengatakan ia bukan masalah besar. Lalu saya berasa yakin untuk pulang ke Kuala Lumpur pada esok hari.

Pada hari ahad jam 11 pagi, kami sekeluarga pun berangkat meninggalkan emak dan adik-adik. Seperti dijangka, masalah "gear" berlaku lagi. Maka pilihan yang terbaik adalah memandu dibawah 100km/j. Alhamdulillah, tiada masalah lain berlaku kecuali masalah kesesakan lalu-lintas.

Kesesakan pertama ketika menuju simpang Behrang ke arah Pekan. Puncanya ramai pemandu berhenti untuk membeli buah tangan terutamanya keropok dan buah-buahan yang banyak dijual disitu. Kedua, kesesakan kerana kemalangan di lebuh-raya. Kelihatan seorang mangsa terbaring dijalan dan diberi bantuan pernafasan oleh ahli bomba. Yang ketiga berlaku ditempat biasa - di plaza-plaza tol.

Dalam banyak-banyak tempat yang sesak, cabaran terbesar adalah ketika memandu mendaki bukit tinggi sehinggalah ke kawasan rehat Genting Sempah. Puncanya sudah tentu kerana terlalu ramai yang pulang ke Kuala Lumpur pada ketika itu. Tetapi kesesakan mungkin boleh dikurangkan sedikit jika tidak terlalu ramai yang berhenti di kawasan rehat Genting Sempah sehingga menghalang lalu lintas.

Alhamdulillah, pada jam 9 malam kami selamat sampai di rumah. Tetapi cabaran tidak habis lagi apabila "baby" yang baru tiga bulan lebih tu pula tak berhenti-henti menangis. Mungkin mabuk kereta agaknya!

"Moral of the story", cabaran hidup memang tak akan terhenti sehinggalah kita mencecah kaki ke pintu syurga yang kekal abadi. Makanya, kita harus hidup tabah serta sentiasa bersedia menempuh sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Yang penting, jangan lupa Tuhan. Wassalam.