Jimat Lagi

PENJIMATAN DILUAR JANGKAAN


Merujuk pada catatan sebelum ini, syukur alhamdulillah kerana Haw dah berjaya menjimatkan perbelanjaan bulanan hampir RM200. Dalam Haw bergembira dengan hasil usaha yang Haw kira berbaloi itu, rupanya-rupanya ada lagi penjimatan lain yang secara tak langsung turut berlaku.

Dalam berkira-kira untuk berjimat, Haw lupa bahawa ketiga-tiga elemen yang disingkirkan itu semuanya menggunakan sumber elektrik. Kalau dulu penggunaan elektrik melebihi RM50, dan ada kalanya sehingga melebihi RM70, tetapi kini cuma dalam RM35 sahaja sebulan. Mula-mula tak percaya. Tetapi setelah beberapa bulan berlalu, memang sah secara purata cuma RM35 sahaja penggunaan elektrik di rumah.

Tetapi antara talian tetap, perkhidmatan jalur lebar dan Astro, yang manakah sebenarnya menyumbang penggunaan elektrik yang tertinggi? Sudah tentunya bukan talian tetap. Kerana talian tetap menggunakan tenaga elektrik yang sangat rendah yang tidak memerlukan sumber elektrik tambahan dari pengguna.

Perkhidmatan jalur lebar juga bukan penyebab penggunaan elektrik yang tinggi kerana alat yang digunakan berfungsi dengan tenaga elektrik yang disalurkan terus dari komputer. Bagaimanapun, penggunaan yang kerap dan lama terutama ketika aktiviti muat turun sumber multimedia dan aplikasi yang bersaiz besar mungkin meningkatkan penggunaan elektrik. Tetapi setelah dikaji, peningkatannya mungkin tak seberapa kerana penggunaan komputer lebih kerap dan lebih lama berbanding dulu.

Dari ketiga-tiga perkhidmatan yang ditutup, kemungkinan besar penggunaan elektrik yang tinggi adalah dari langganan perkhidmatan Astro. Tak dapatlah nak dipastikan samada decoder Astro atau televisyen yang menggunakan elektrik paling tinggi. Tetapi yang pasti kekerapan menonton television telah berkurang berbanding sebelum perkhidmatan Astro ditutup, yang mana berkemungkinan besar adalah punca mengapa penggunaan elektrik turut berkurang.

Daripada pengamatan Haw, maka tak salah jika Haw rumuskan bahawa penggunaan elektrik lebih tinggi adalah berpunca dari kekerapan menonton televisyen serta tempoh perkakasan Astro yang kebiasaannya dibiarkan hidup terpasang selama dua puluh empat jam setiap hari.

Maka pengajaran penting yang Haw rasa perlu diamati dari situasi ini adalah bahawa menonton televisyen bukan sahaja membuang masa, tetapi juga meningkatkan kos elektrik. Anda dinasihatkan untuk menutup televisyen serta decoder Astro anda sepenuhnya apabila ia tidak digunakan. Samada ketika masuk tidur atau   ketika keluar rumah untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Atau langkah paling selamat, tamatkan sahaja perkhidmatan tersebut. Sanggup?


Previous
Next Post »