Tips Jimat Berbelanja

Pantang dengar kaki-tangan kerajaan naik gaji, harga barang pun ikut naik juga. Apatah lagi kalau yang naik itu adalah harga petrol, lagilah melambung tingginya harga barang-barang. Memandangkan kita ini tergolong dalam golongan pengguna yang penakut dan tak reti nak bersatu, makanya berkuasa mutlaklah si peniaga dan bermaharajalah pemborong menaikkan harga ikut banyak mana keuntungan yang mereka mahu. Memandangkan kita tak berani bersuara, maka berjimat adalah langkah yang paling sesuai untuk kita.

Sebenarnya, dalam berbelanja kadang-kala kita terlebih atau berlebih-lebih. Dan kebiasaannya tak sengaja atau tak sedar pun apa yang dibelanjakan itu sebenarnya tak berfaedah. Secara tak langsung menyebabkan kita membazir. Untuk mengelakkan ia berlaku, ada baiknya kita luangkan sedikit masa untuk mencari atau meneliti mana-mana perbelanjaan yang telah dibazirkan.

Itulah yang berlaku pada Haw. Mungkin juga berlaku pada anda juga. Setelah Haw mengkaji perbelanjaan harian, rupa-rupanya beberapa bil yang dibayar setiap bulan sebenarnya tidak memberi faedah pada diri sendiri dan keluarga. Daripada bil-bil tersebut Haw dapati bahawa talian tetap, perkhidmatan broadband dan Astro sebenarnya sangat-sangat tak berfaedah dan membazir untuk Haw dan keluarga.

Pada mulanya perkhidmatan talian tetap tersebut tak memberi kesan. Atas usahasama majikan dan Telekom, maka dapatlah kami menikmati bil bulanan perkhidmatan talian tetap secara percuma. Tetapi setelah kontrak usahasama tamat, maka terpaksalah kami membayarnya sama seperti pelanggan lain. Atas sebab itu, maka memotong perkhidmatan ini adalah pilihan utama dalam menjimatkan kos perbelanjaan.

Tentu pelik apabila broadband juga tersenarai antara perkara yang tak berfaedah dan membazir. Tidak ke susah Haw nak berblog apabila broadband dihapuskan? Kalau kalian nak tahu, sebenarnya ada lebih dari satu broadband di rumah. Satu untuk Haw dan satu untuk isteri. Setelah diteliti, didapati satu broadband sebenarnya sudah memadai. Maka dengan menutup satu daripadanya adalah langkah yang munasabah.

Tapi macamana pula Astro? Sumber hiburan utama dirumah. Anak-anak memang dua puluh empat jam dok mengadap kartun. Walau berulang-ulang pun tetap ditontonnya. Tak kurang juga si emak, kalau drama dari seberang memang tak ketinggalan. Silap hari bulan Haw pun ikut layan! Bayangkan jika berlaku pertembungan, haru-biru jadinya. Nak tak nak kenalah si emak dan ayah yang perlu mengalah. Merujuk kepada situasi ini, Haw simpulkan bahawa sumber hiburan ini sebenarnya boleh mereggangkan hubungan kekeluargaan.

Itulah yang dinamakan hiburan. Sampai bila-bila pun kita tak akan puas dengan hiburan. Untuk mengurangkan sedikit masa berhibur dan untuk menambahkan lagi masa berharga bersama keluarga, maka Haw membuat keputusan untuk menutup perkhidmatan Astro.

Dengan penutupan ketiga-tiga perkhidmatan ini, suka Haw nak maklumkan bahawa hampir dua ratus ringgit sebulan telah berjaya dijimatkan.