Cuba ... Try ... Test ...


Dalam hidup ada banyak cubaan. Cubaan dan dugaan sering datang seiringan. Namun setiap cubaan yang datang mempunyai nilai tersembunyi yang kebiasaannya susah untuk dimengertikan. Itulah lumrah hidup. Ia akan terus datang tanpa boleh dielak. Terpulang pada diri bagaimana untuk menghadapinya.

Itu cubaan semulajadi. Yang sering datang tanpa dinanti. Tetapi bagaimana pula cubaan yang datang dari diri sendiri? Cari pasal? Itulah ucapan biasa yang didengar apabila kita mencuba sesuatu. Biasanya apabila cubaan kita itu adalah sesuatu yang baru dan luar biasa dari suasana seharian. Namun ucapan "cari pasal" itu ada benarnya. Benar apabila mencuba sesuatu yang sememangnya tidak patut dicuba. Seperti cubaan pertama hisap rokok, cubaan pengambilan dadah, cubaan membunuh, cubaan mencuri, cubaan merempit dan sebagainya.

Itu disudut negatif. Apakata kita lihat dari sudut positif pula. Kalau ditanya pada blogger contohnya, tidakkah berbaloi niat mencuba mereka untuk mengujudkan blog sendiri. Sekurang-kurangnya, cubaan mereka itu telah mendorong mereka menjadi mahir dalam penulisan, menjadi kreatif, berkomunikasi dan yang paling seronok apabila mendapat hasil dari cubaan yang biasa-biasa itu.


Itu contoh mudah. Cuba lihat cubaan yang lebih hebat. Contohnya Facebook yang kita guna sekarang ini. Hebatkan? Kehebatannya terserlah. Sehingga kita tak perlu menghuraikannya panjang lebar kerana masing-masing telah sedia maklum akan keujudannya. Siapa sangka, dari usaha awalnya yang menimbulkan kemarahan akhirnya menjadi pusat sosial popular yang tersebar keseluruh dunia. Tak hairanlah jika kini ramai yang berminat untuk mengujudkan laman sosial seperti ini.

Namun begitu, mampukah kita memulakan percubaan untuk berjaya seperti itu. Ada kemungkinan besarnya kita kecundang tersungkur dari cubaan-cubaan yang mungkin telah banyak kali dicuba. Tapi itulah keindahan mencuba, menjadikan kita tabah dan kuat berusaha. Percayalah, setiap yang dicuba dapat mematangkan kita. Dan percayalah antara perkara-perkara yang dicuba pasti memberi menafaat yang tidak dijangka. Kalau tidak dicuba, bagaimana pula kita akan tahu hasilnya. Makanya, suka atau pun tidak, mencuba adalah satu langkah kehadapan yang sungguh hebat.

Previous
Next Post »