DICTATOR : Mangsa Aniaya

TERANIAYA?

Sejak sepuluh tahun yang lalu, anda telah diberi satu tugas penting di dalam syarikat. Setelah masa berlalu tentunya anda semakin mahir dan semakin berpengalaman dalam bidang kerja yang diamanahkan. Walaupun anda tidak berpangkat tinggi, tetapi tugas yang diamanahkan terus dilaksanakan tanpa alasan apatah lagi cemuhan. Pendek kata telah biasa dan mungkin dah jatuh cinta pada tugas yang diberikan.

Masalahnya, setelah sekian lama melaksanakan tugas tersebut tanpa masalah, patutkah anda dipaksa untuk melaksanakan satu tugas baru yang bukan sahaja sangat-sangat mencabar tetapi anda memang tak ada hati langsung untuk terjun kebidang baru yang diberikan secara mengejut itu.

Kalaulah anda dijanjikan kenaikan gaji yang tinggi beserta kenaikan pangkat secara bertulis, mungkin anda akan berbelah bagi samada mahu terima arahan tersebut atau tidak. Atau mungkin anda diberi secara berhemah serta tahap motivasi yang bagus, mungkin anda juga akan terima juga tugas tersebut. Tetapi jika arahan yang diberi dalam keadaan mengejut membabi-buta tanpa arah, itu menimbulkan banyak persoalan. Adakah kerana pengurus anda benci kepada anda? Mungkinkah pengurus mahu menganiaya atau mengena anda? Atau mungkin pengurus cuba keluarkan anda dari jabatan? Atau kenapa?

Setelah berjumpa dan berbincang, seperti biasa pandangan serta pendapat anda tidak dilayan. Anda tetap juga diarahkan atau mungkin perkataan yang sesuai "dipaksa" untuk terima arahan tersebut. "You have to!" perkataan yang terpacul dari mulut pengurus yang menggambarkan tiada toleransi terhadap aduan anda itu. 

Persoalannya, patutkah anda berasa teraniaya terhadap tindakan pengurus tersebut? Apakah tindakan yang patut anda lakukan?