Hari Raya

Hari raya ada berapa hari?

Hari ni terbaca berkenaan hari raya [disini]. Persoalannya sungguh mudah. Cuma kita mungkin teralpa atau dah dialpakan dengan kebiasaan. Sesuatu yang biasa diamalkan sudah tentunya akan menjadi budaya. Apabila ia telah diperbudayakan, pasti kita akan ragu-ragu pula untuk mengubahnya walaupun perubahan itu sebenarnya untuk memperbetulkan.

Persoalan tersebut adalah berkenaan berapa jumlah hari yang dikatakan hari raya, samada I'dul Fitri mahupun I'dul Adha. Sebagaimana yang pernah kita belajar, hari raya I'dul Fitri itu sebenarnya hanyalah pada 1 Syawal. Makanya, adakah bida'ah apabila menyambutnya lebih dari satu hari? Begitu juga I'dul Adha yang sepatutnya dirayakan selama empat hari, adakah bida'ah jika dirayakan hanya satu hari?

Persoalan ini sebenarnya telah lama aku terfikir. Tapi tiada jawapan yang pasti. Mungkin kerana tiada siapa yang memperkatakannya atau mungkin kerana tiada para yang arif yang tampil untuk menjelaskannya.

Berpandu dengan ilmu yang sangat cetek, aku sebenarnya setuju bahawa I'dul Fitri itu disambut sehari sahaja. Tetapi tidaklah tergamak untuk mengatakan bidaah jika menyambutnya lebih dari sehari. Dalam kes ini, aku sebenarnya lebih setuju kalau perkataan hari raya kedua, ketiga atau hari raya sebulan itu diganti dengan gelaran yang lain. Contohnya hari raya enam, gelaran yang aku dengar pertama kali ke pantai timur. Hari raya enam kerana pada 2 Syawal mereka telah mula laksanakan puasa sunat enam hari dan beraya selepas itu tanda gembira dan syukur atas kejayaan melaksanakannya.

Aku juga setuju jika kerajaan menambah bilangan cuti I'dul Adha lebih sehari. Jika boleh diberi empat hari, itu lebih bagus. Sekurang-kurangnya dapatlah menghilangkan penat mengurus kurban dan juga aqikah. Hilang penat dari menambat lembu, sembelih, membahagi daging, mengedar dan sebagainya. Lebih lagi ketika ini telah ramai yang sedar. Makanya berpuluh-puluh ekor haiwan kurban yang hendak diuruskan samada di masjid-masjid mahupun di surau-surau. Makanya cuti lebih sehari adalah perlu untuk masyarakat sama-sama bergotong-royong menghidupkan I'dul Adha.

Mungkin ada yang setuju dan mungkin ada juga yang tidak. Untuk kepastian, marilah kita sama-sama merujuk perkara ini kepada yang arif. Agar kita tak terpesong jauh dari agama, dan semoga timbulnya topik ini dapat mendekatkan lagi diri kita kepadaNya. InsyaAllah, mana-mana yang tidak betul pada artikal ini sama-samalah kita ambil ikhtibar daripadanya.


Previous
Next Post »